Nurul Najihah dengan kecederaan pada kening kanannya. FOTO ihsan pembaca
Nurul Najihah dengan kecederaan pada kening kanannya. FOTO ihsan pembaca
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: "Sebulan lalu, wanita berkenaan juga bergaduh dengan kakak," kata Nurul Najihah Azizan, 18, mangsa yang cedera pada kening kanan dan menerima enam jahitan akibat ditikam kunci kereta dalam pergelutan di Pantai Merdeka, dekat sini Ahad lalu.

Menurutnya, kakak sulungnya ada membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit namun enggan mengambil tindakan lanjut dan mengalah dengan suspek serta keluarganya.

"Jika diikutkan, pergaduhan antara kami dan wanita berkenaan sudah berlarutan sejak saya masih kecil tanpa diketahui punca namun kami sekeluarga tidak ambil kisah dan enggan melayan kerenahnya.

"Kami tinggal sekampung dan setiap kali berselisih pasti ada sahaja kata-kata hinaan dan ejekan wanita terbabit tanpa diketahui punca," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menceritakan kembali kejadian sehingga tercetusnya pergaduhan yang videonya tular di media sosial, Nurul Najihah berkata dia ketika itu sedang menuju ke gerai menjual mainan milik kakaknya.

"Saya baru pulang dari Alor Setar dan terus menuju ke gerai kakak sebelum berselisih dengan wanita terbabit yang secara tiba-tiba memaki hamun dan menghina kakak tanpa sebab.

"Saya mempersoalkan tindakannya, dia tiba-tiba naik angin dan mengamuk serta menolak troli sehingga berselerak barang jualan," katanya.

Menurutnya, dia kemudian diserang wanita berkenaan dan berlaku pergelutan antara mereka sebelum dileraikan pengunjung yang berada di lokasi kejadian.

"Ketika bergelut, saya ditumbuk wanita berkenaan yang ketika itu menggenggam kunci kereta sehingga membuatkan kening kanan berdarah.

"Kejadian menyebabkan kening kanan mengalami luka yang agak dalam dan saya terpaksa menerima enam jahitan," katanya yang membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

Terdahulu, rakaman video berhubung insiden terbabit yang memaparkan aksi pergaduhan remaja perempuan dan seorang wanita tular di media sosial.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata suspek yang berusia 23 tahun dan bekerja sebagai operator kilang kini direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

"Setakat ini, siasatan mendapati kes berkenaan berpunca daripada suspek yang dikatakan tidak berpuas hati dengan keluarga mangsa berhubung perniagaan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 4:55 PM