ANTARA 32 alumni SK Pokok Tai yang bertemu semula Sabtu lalu. FOTO Ihsan  Isham Sani Ismail
ANTARA 32 alumni SK Pokok Tai yang bertemu semula Sabtu lalu. FOTO Ihsan Isham Sani Ismail
Redzuan Muharam


Pendang: Bagi mengimbau nostalgia ketika di bangku sekolah, seramai 32 alumni Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Tai, di sini, bagi sesi persekolahan 1981 dan 1986 berkumpul semula Sabtu lalu.

Kisah pertemuan semula yang diadakan di kantin dan bilik darjah sekolah turut tular selepas seorang alumni, Isham Sani Ismail, 48, memuat naik video pertemuan mereka itu di TikTok.

Bercerita lanjut, Isham Sani yang juga pesara tentera berkata, perancangan untuk mengadakan majlis pertemuan semula itu dibuat sejak dua bulan lalu dan ia membabitkan alumni sesi 1981 hingga 1986.

Katanya, idea itu tercetus dan dianjurkan dua rakannya, Rohaida Hussein dan Amran Mansur yang kedua-duanya berusia 48 tahun.

"Kebetulan, kami ada tubuhkan kumpulan alumni di WhatsApp sejak 15 Ogos 2016. Jadi, di situ kami berhubung malah pemberitahuan mengenai majlis pertemuan semula juga dibuat di situ.

"Alhamdulilah, ia dapat maklum balas baik dan pihak sekolah juga memberi sokongan untuk menganjurkan majlis itu memandangkan ada di antara kami kini sudah menjadi guru di situ," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Isham Sani, majlis itu dimulakan dengan bacaan doa selamat dan Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada rakan alumni yang sudah meninggal dunia.

"Selesai bacaan doa selamat, kami menjamu selera bersama di kantin dan kemudian naik bilik darjah bagi bergambar kenangan.

"Menariknya, alumni tidak hanya datang dengan pasangan kerana ada juga hadir membawa anak juga cucu mereka dalam pertemuan bermula 10.30 pagi hingga 3 petang itu.

"Memang meriah kerana kami tidak sangka dapat berkumpul semula selepas pertemuan pertama pada 2017. Ketika itu (2017), kami berkumpul di sekolah sama cuma setakat makan di kantin saja dan tidak ke bilik darjah," katanya.

Mengenai perkongsiannya di TikTok yang mendapat perhatian, Isham Sani mengakui terkejut kerana sekadar memuat naik video untuk sebagai kenangan saja.

"Video itu dirakam oleh anak alumni juga dan ikutkan saya muat naik suka-suka saja kerana saya pun masih baru di TikTok namun ramai yang menonton malah serta komen.

"Saya cuba jawab satu persatu dan majlis perjumpaan ini sudah tentunya akan diadakan lagi pada masa akan datang bagi mengeratkan ukhuwah serta silaturahim antara kami meskipun masing-masing sudah berkeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 3:55 PM