Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi perbicaraan hari pertama kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. FOTO BERNAMA
Syed Saddiq hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi perbicaraan hari pertama kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak pendakwaan dalam kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dan pengubahan wang haram akan membuktikan kesemua kesalahan yang didakwa dilakukan Ahli Parlimen Muar itu adalah berniat jahat dan tidak jujur.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, pihaknya akan bergantung kepada kombinasi keterangan terus, ikut keadaan dan dokumentar dalam membuktikan kes terhadap tertuduh.

"Keterangan mengikut Seksyen 6, 7, 8 dan 9 Akta Keterangan 1950 langsung tidak memihak kepada tertuduh.

"Kami juga tidak akan menggunakan anggapan mengikut Seksyen 409A Kanun Keseksaan dalam membuktikan kes kami ke atas tertuduh kelak," katanya semasa membaca pernyataan pembukaan pendakwaan pada hari pertama perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid.

Syed Saddiq, 29, yang memakai kemeja batik biru tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 9 pagi.

Selepas penyataan pembukaan dibacakan, pendakwaan memanggil saksi pertamanya iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Taufik Awaluddin, 30, untuk memberi keterangan.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo, Datuk S Ambiga, Haijan Omar dan Lim Wei Jeit.

Terdahulu, Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah bahawa pihaknya sudah memfailkan dua pertuduhan pindaan berkaitan pecah amanah dengan mengeluarkan perkataan 'curang' dan menukarkannya kepada 'tidak jujur'.

Dua pertuduhan berkenaan kemudiannya dibacakan semula kepada Syed Saddiq dan beliau mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 11:46 AM