PEKERJA kontrak melakukan kerja terakhir sempena sambutan Hawana 2022 esok. FOTO Bernama
PEKERJA kontrak melakukan kerja terakhir sempena sambutan Hawana 2022 esok. FOTO Bernama
BERNAMA

Jakarta: Delegasi media Indonesia seramai 15 orang, berlepas petang ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini ke Kuala Lumpur, untuk memeriahkan sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana).

Delegasi diketuai Ketua Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Indonesia Asro Kamal Rokan, yang juga bekas Pemimpin Umum agensi berita Antara.

Iswami yang ditubuhkan pada 2009 adalah inisiatif wartawan Malaysia dan Indonesia, bertujuan untuk mengekalkan keharmonian antara kedua-dua negara serumpun.

Turut serta Ketua Umum Persatuan Wartawan Indonesia Atal S Depari, Penasihat Iswami Indonesia Ilham Bintang, Setiausaha Agung Iswami Indonesia N Syamsuddin Ch Haesy.

Delegasi lain terdiri daripada editor utama media Indonesia Akhmad Munir yang mewakili Antara, Tri Agung Kristanto (Kompas), Teguh Santosa (RMOL), Arifin Asydhad (Kumparan) dan Setri Yasra (Tempo).

Turut serta Pung Purwanto (Koran Sindo), M. Taufiqurrahman (Jakarta Post), Alfito Deannova Ginting (Detik.com), Budiyanto (MetroTV), Ecep S Yasa (TVOne) dan Nur Hasan (Republika).

Pelepasan delegasi disempurnakan Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ammil Afiq Jasim.

Sementara itu di Melaka, Setiausaha Iswami Malaysia Mohd Shukri Ishak berkata, delegasi itu yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6.30 petang, akan menghadiri jamuan makan malam bersama Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam di A'Famosa Resort, Alor Gajah di sini.

Beliau berkata, delegasi itu akan mengadakan lawatan sosial di sekitar negeri itu esok, sebelum menghadiri kemuncak sambutan Hawana 2022 di Hotel Hatten di sini, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Delegasi kemudian akan menghadiri jamuan makan malam bersama Iswami Malaysia di Putrajaya," katanya kepada Bernama.

Mohd Shukri berkata, pada hari terakhir lawatan delegasi itu, mereka dijadual menghadiri jamuan makan tengah hari bersama Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya sebelum minum petang bersama ISWAMI Malaysia, dan akan berlepas pulang dari Malaysia keesokannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 6:32 PM