Polis mengesahkan video memaparkan seorang lelaki menetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai yang tular di media sosial semalam, adalah kejadian lama berlaku pada 2018. FOTO Tular
Polis mengesahkan video memaparkan seorang lelaki menetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai yang tular di media sosial semalam, adalah kejadian lama berlaku pada 2018. FOTO Tular
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan video memaparkan seorang lelaki menetak pekerja lebuh raya dengan pedang samurai yang tular di media sosial semalam, adalah kejadian yang berlaku kira-kira empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, klip video berdurasi 24 saat itu dipercayai diulang siar oleh satu pemilik akaun Facebook.

"Semakan polis mendapati kejadian sebenar berlaku pada 2018 di Jalan Alam Damai, Cheras.

"Suspek lelaki tempatan sudah ditahan dan dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Idzam berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab tularkan semula video berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengulang siar gambar atau video lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat serta berharap orang ramai memeriksa kesahihan sebelum berkongsi.

Semalam, video kejadian pergaduhan menunjukkan lelaki memegang pedang samurai menetak belakang seorang pekerja lebuh raya tular di Facebook hingga dikongsi lebih 7,000 pengguna dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-ratanya meminta polis mengambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 11:36 AM