Ustazah Asma Harun
Ustazah Asma Harun
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: "Harus faham, hukum menunaikan umrah ialah sunat muakkad iaitu sunat yang amat dituntut, namun hukum menutup aurat wajib," demikian teguran penceramah bebas, Ustazah Asma Harun.

Beliau menjelaskan perkara itu bagi mengelak salah faham masyarakat mengenai hukum wajib dan sunat serta mana yang perlu menjadi keutamaan.

Penjelasan itu susulan kenyataan dikeluarkan seorang selebriti wanita yang mengatakan dirinya belum bertudung tetapi sudah tiga kali menunaikan umrah.

"Ramai salah faham tentang keutamaan ini menyebabkan perkara wajib dilengah-lengahkan tapi yang sunat atau harus pula dikejar sehingga terabai yang wajib.

"Ada juga sebahagian yang merasakan tidak mengapa jika tak menutup aurat, yang penting hati mereka baik.

"Jika kita ke kedai buah, mana yang kita akan pilih, buah yang luarnya baik atau yang sudah dipenuhi lebam dan busuk? Apabila pilih yang luarnya baik, ada kemungkinan isinya segar atau rosak, tetapi luar yang buruk sudah pasti isinya juga rosak," tulisnya dalam kapsyen gambar artikel beberapa portal dimuat naik di Instagram (IG) miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Asma turut mengingatkan orang ramai supaya memahami pengertian istidraj.

"Seandainya kita sentiasa diberikan nikmat yang melimpah-ruah tanpa henti walaupun hidup dalam keadaan fasiq iaitu berterusan melakukan maksiat yang nyata, berhati-hatilah dengan rezeki dikurniakan Maha Pemberi Rezeki kepada kita.

"Rasulullah SAW bersabda, maksudnya 'Apabila kamu melihat Allah memberi kepada hamba daripada (perkara) dunia yang diinginkan, sedangkan dia terus melakukan maksiat kepada-Nya, maka (ketahuilah) bahawa perkara itu adalah istidraj dari Allah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 3:48 PM