Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.
Sharifah Hasidah Syeed Aman Ghazali.
Mohd Roji Kawi

Kuching: Rundingan berhubung pemberian geran khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan antara kerajaan Sarawak dengan Persekutuan masih diteruskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Bersama.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Persekutuan-Negeri) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, mesyuarat jawatankuasa perundingan bersama itu adalah di bawah Perjanjian Majlis Khas Malaysia 1963 (MA63).

"Rundingan itu berterusan supaya formula semakan Pemberian Khas kepada Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dan perkara lain yang berkaitan dapat dibincang dan dipersetujui bagi memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wilfred Yap (GPS-Kota Sentosa) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Yap dalam soalan tambahannya mempersoalkan mengapa Sarawak tidak mencapai kata sepakat dengan kerajaan Persekutuan sedangkan kerajaan Sabah bersetuju untuk mengkaji semula pemberian khas kepada negeri itu di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, meningkatkan pemberian semasa sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta pada tahun ini.

Sharifah Hasidah berkata, kerajaan negeri mengemukakan formula semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pemberian khas kepada Sarawak dapat diagihkan secara adil.

"Malah, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru menegaskan pemberian khas kepada Sarawak hendaklah berdasarkan formula yang munasabah dan pragmatik dengan mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 112D Persekutuan Perlembagaan," katanya.

"Jika kerajaan Persekutuan dan negeri tidak dapat mencapai persetujuan, ia boleh diselesaikan mengikut Perkara 112D (6) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Menurutnya lagi, jika mana-mana kajian semula kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak mencapai persetujuan dalam apa-apa perkara, ia hendaklah dirujuk kepada penilai bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 1:51 PM