Rohaimi Md Isa (dua kiri) ketika Majlis Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Rohaimi Md Isa (dua kiri) ketika Majlis Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Rakan dan kenalan kepada pegawai polis antara yang menjadi sasaran kegiatan dipercayai berunsur penipuan yang menggunakan nama Ketua Polis Terengganu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sindiket itu dikesan selepas pihaknya mendapat satu notis tangkapan yang kononnya dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi WhatsApp.

Menurutnya, terdapat beberapa mangsa membuat aduan selepas menerima surat amaran menggunakan namanya yang mengugut akan mengambil tindakan dan membuat tangkapan segera terhadap mangsa yang dikatakan berhutang serta terbabit dalam pengubahan wang haram pada minggu lalu.

"Bagaimanapun, ia adalah taktik penipuan semata-mata iaitu percubaan penjenayah untuk mendapatkan wang secara mudah.

"Setakat ini, hanya seorang sahaja mangsa yang membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada sindiket berkenaan namun terdapat beberapa orang lagi melaporkan kejadian itu kepada polis.

"Bagaimanapun, mereka itu tidak membuat laporan polis secara rasmi dengan kebanyakan yang menjadi mangsa adalah rakan dan kenalan kepada polis sendiri," katanya ketika ditemui di majlis Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2022 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, semalam.

Rohaimi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian sama akan berulang dan sindiket berkenaan lebih berani memandangkan ia dilakukan secara maya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan modus operandi terbaharu yang digunakan sindiket penipuan itu.

"Orang ramai diingatkan supaya merujuk kepada balai polis berdekatan jika menerima sebarang notis berbentuk sedemikian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 1:47 PM