Mohd Roji Kawi


Kuching: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan meneruskan semua projek pembangunan yang sudah dirancang meskipun ketika negara menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek pembangunan untuk rakyat menjadi keutamaan kerajaan dan tidak ada sebab semua projek yang sudah diluluskan perlu dibatalkan.

Bagaimanapun, katanya, kemungkinan berlaku sedikit kelewatan bagi projek tertentu yang berdepan masalah seperti pertukaran hak milik tanah.

"Tidak akan ada pembatalan projek yang memang sudah diluluskan, cuma yang ada ialah penilaian semula bagi projek tertentu bagi menyelesaikan beberapa masalah di lapangan seperti isu tapak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Jejambat Batu 10, Seksyen Jalan Kuching-Serian (KSR) di sini, hari ini.

Fadillah berkata, banyak projek di seluruh negara kini dalam pelaksanaan termasuk fasa pertama Jalan Penghubung Sabah Sarawak (SSLR) dari Lawas ke Long Lopeng sepanjang 77 kilometer yang kini sedang giat dilaksanakan.

"Begitu juga dengan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak fasa dua dari Miri ke sempadan Brunei dan dari Limbang ke Lawas yang sudah diluluskan kabinet," katanya.

Mengenai perkembangan projek fasa pertama Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, beliau berkata projek sepanjang 786 kilometer dari Telok Melano ke Miri itu dijangka siap penghujung tahun ini.

Menurutnya, projek mega itu kini sudah 82 peratus siap, namun beberapa lokasi masih mengalami sedikit kelewatan kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda sejak 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 2:20 PM
Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof, merasmikan Jejambat Batu 10 Seksyen Kuching Serian Road (KSR) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan menekan butang perasmian dan mengadakan sidang media. FOTO NADIM BOKHARI
Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof, merasmikan Jejambat Batu 10 Seksyen Kuching Serian Road (KSR) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dengan menekan butang perasmian dan mengadakan sidang media. FOTO NADIM BOKHARI