Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Sebarang dapatan baru mengenai rawatan Covid-19 akan dikaji secara menyeluruh sebelum dilaksanakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) akan menjalankan kajian terhadap sebarang kaedah atau teknik rawatan baharu Covid-19.

"Justeru sebarang keputusan sama ada untuk membawa masuk atau membuat vaksin akan melalui kajian yang rapi sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al-Baqir, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan vaksin NawsonVacc yang dibangunkan doktor dari India, Dr Alfred John Prem Raj yang dikatakan boleh menghilangkan simptom Covid-19 dalam tempoh 20 saat.

Dr Noor Azmi berkata, selain program vaksinasi, kerajaan juga sudah membeli ubat antivirus Paxlovid dan ia cukup berkesan mengubati Covid-19 dan mengurangkan kes di hospital.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan tidak bercadang melanjutkan tempoh vaksinasi untuk kanak -kanak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang akan berakhir pada hujung Mei ini.

"KKM sudah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma, sekiranya selepas ini mereka berhasrat mendapatkan suntikan vaksin, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

"Tempoh yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei lalu dilanjutkan hingga 31 Mei ini adalah disebabkan mahu memberi peluang kepada ibu bapa membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 12:24 PM