LOKASI penemuan mayat suami isteri pekerja ladang di Serian.
LOKASI penemuan mayat suami isteri pekerja ladang di Serian.
Melvin Joni


Serian: Suami isteri warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan meninggal dunia dalam kejadian berasingan di rumah kongsi ladang serta Kampung Batu Kudi, Balai Ringin di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, kejadian pertama berlaku di Kampung Batu Kudi yang dilapor pada 4 petang, membabitkan lelaki berusia 47 tahun dipercayai diserang sekumpulan lelaki.

Katanya, insiden disedari isteri mangsa yang terdengar jeritan suaminya kira-kira 50 meter dari rumah.

"Ketika itu, isteri mangsa sedang menidurkan anak dan segera mendapatkan suaminya yang terbaring tidak sedarkan diri dipercayai akibat diserang.

"Dia kemudian membawa suaminya ke Klinik Balai Ringin untuk rawatan sebelum mangsa dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada 8.45 malam," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau turut memaklumkan tiga lelaki berusia 28 hingga 34 tahun ditahan pada 5 petang hari sama untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Aswandy berkata, kejadian kedua membabitkan suami isteri warga asing yang ditemukan meninggal dunia di rumah kongsi pekerja Ladang Sawit WFM Melikin pada 8 malam.

Katanya, mayat pasangan berusia 44 dan 47 tahun itu ditemui pekerja ladang dalam keadaan berlumuran darah dan ada kesan kelar di dapur rumah kongsi terbabit.

"Pekerja itu kemudian memaklumkan kepada ketua pengawal keselamatan dan polis bantuan ladang yang kemudian melaporkannya kepada IPD Serian.

"Mangsa wanita cedera di tengkuk sementara lelaki terdapat kesan di leher," katanya yang memberitahu pasangan itu adalah pekerja ladang berkenaan.

Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Serian untuk dibedah siasat dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Kedua-dua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 309 kanun sama bagi kes kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2022 @ 2:43 AM