Zaid Salim


Kuala Terengganu: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam usaha menangani penularan penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) yang kini semakin meningkat.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun HFMD dikesan banyak berlaku di Selangor namun pencegahan perlu dilakukan supaya ia tidak merebak ke negeri lain.

Beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk sentiasa memantau keadaan dan tahap kebersihan di Taska (Taman Asuhan Kanak-Kanak) dan Tabika (Taman Bimbingan Kanak-Kanak).

"Pengusaha Taska dan Tabika perlu sentiasa menitik berat aspek kebersihan dan tidak menerima kanak-kanak yang dikesan memiliki simptom penyakit berkenaan," katanya pada Program Wanita Bangkit@KWPKM, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain pengusaha Taska dan Tabika, ibu juga perlu memainkan peranan menjaga tahap kebersihan anak ketika berada di rumah.

Menurut Rina, langkah pencegahan bukan sahaja terletak di bahu pengusaha Taska atau Tabika, sebaliknya ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam usaha mencegah penularan penyakit berkenaan.

"HFMD adalah penyakit berjangkit. Sekiranya ibu bapa mendapati anak-anak mempunyai simptom penyakit berkenaan seperti gatal, bintik-bintik merah, ruam elakkan menghantar anak ke pusat penjagaan dan segera mendapatkan rawatan doktor," katanya.

Dalam pada itu, pengusaha Taska dan Tabika juga perlu meningkatkan tahap kebersihan premis bagi memastikan keselamatan anak yang dihantar di pusat berkenaan terjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 10:19 PM