MOHD Farhan Muhd Fadhil bercakap ketika sidang media Ibadah Korban di Bumi Anbia di Aman Palestin, Bangi. FOTO Aziah Azmee
MOHD Farhan Muhd Fadhil bercakap ketika sidang media Ibadah Korban di Bumi Anbia di Aman Palestin, Bangi. FOTO Aziah Azmee
Anis Syuhada Mohd Rosli


Bangi: Aman Palestin memperkenalkan Kempen Ibadah Korban di Bumi Anbia dengan pakej baharu yang menambah baik kualiti dan saiz daging bersesuaian dengan harga ditetapkan.

Kempen itu ialah alternatif kepada seluruh masyarakat Islam yang ingin melaksanakan ibadah korban di Palestin, Syria dan Yaman.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, kempen ini bertujuan untuk menyeru masyarakat bagi menjiwai nilai pengorbanan dan kesusahan rakyat di negara terbabit.

"Kempen ini diadakan supaya masyarakat dan peserta menghayati ibadah korban yang dilaksanakan melalui penghantaran Misi Kemanusiaan Ibadah Korban ke negara terpilih," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurutnya, daging haiwan ibadah korban itu diberikan kepada warga Palestin, Syria dan Yaman yang sememangnya sukar untuk mendapatkan bekalan daging sebagai juadah makanan.

"Dengan jumlah penyertaan RM9 juta, Aman Palestin yakin mampu memberikan manfaat yang lebih banyak buat mereka yang berada di sana," katanya.

Beliau berkata, Aman Palestin sedaya upaya akan memastikan setiap ibadah korban yang disertai masyarakat tempatan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 6:15 PM