Foto Hiasan
Foto Hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Memandangkan negara berhadapan dengan perubahan cuaca yang dinamik, semua pihak terbabit dalam pengurusan bencana diminta untuk sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan terutama susulan dari cuaca panas dan kering seperti jerebu, kebakaran hutan serta penurunan aras air empangan.

Nadma dalam kenyataan hari ini berkata, ketersediaan peralatan dan logistik setiap agensi juga perlu dipantau dengan lebih kerap dan tidak hanya tertumpu kepada persediaan pengurusan Monsun Timur Laut (MTL).

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) juga dinasihatkan sentiasa aktif dalam penyampaian maklumat bukan sahaja di antara agensi terbabit tetapi turut meliputi nasihat kepada 'stakeholder' lain termasuk masyarakat setempat.

"Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat turut beroperasi menerusi aplikasi WhatsApp bagi memastikan semua ahli mendapat status dan maklumat terkini dan berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum," katanya.

Situasi itu dibentangkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berdasarkan status terkini Keadaan Ayunan Selatan El Nino Selatan (ENSO) bertarikh 10 Mei, dalam Mesyuarat Penyelarasan bagi Menghadapi Cuaca Panas dan Kering yang dipengerusikan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Dr Aminuddin Hassim, hari ini.

Nadma dalam kenyataan berkata, Monsun Barat Daya yang bermula sejak 14 Mei lalu menyebabkan tiupan angin utama dari arah barat daya dan amnya negara akan mengalami kurang hujan, khususnya di Semenanjung dan Sarawak.

"Sekiranya berlaku pembakaran terbuka tidak terkawal boleh mengakibatkan jerebu.

"Bagaimanapun, hujan masih boleh berlaku disebabkan oleh garis badai di Selat Melaka (Sumatras) dan perairan barat Sabah, terutama pada awal pagi," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, MetMalaysia juga bertanggungjawab untuk menyampaikan pemakluman hari tanpa hujan setiap hari kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan serta mengeluarkan nasihat sekiranya terdapat tanda akan berlaku jerebu merentas sempadan.

Katanya, operasi pembenihan awan (OPA) akan dijalankan agensi berkaitan sekiranya terdapat keperluan berdasarkan input Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

Selain itu, dalam mesyuarat sama, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) turut membentangkan usaha agensi dalam membantu mencegah kemarau dan pemantauan kemarau dibuat secara mingguan serta bulanan menerusi Pusat Operasi National Water Balance Management System (NAWABS) yang akan mengeluarkan hebahan melalui emel rasmi kepada Nadma dan JPS Negeri.

"Secara keseluruhan untuk analisis hujan tiga bulan semasa menunjukkan hampir keseluruhan negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima hujan melebihi paras normal.

"Hanya beberapa tempat menunjukkan keadaan sederhana kering seperti Serian dan Sri Aman, Sarawak dan sebahagian kecil kawasan di Johor serta Melaka.

"Sementara, keseluruhan Terengganu dan sebahagian daripada kawasan Kelantan serta Pahang menjadi kawasan paling tinggi menerima hujan untuk tiga bulan semasa berbanding hujan kumulatif Purata Jangka Panjang (LTM)," katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat turut dimaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mempunyai 5,563 telaga tiub seluruh negara yang mempunyai rizab sumber air bawah tanah mencukupi untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana pada musim kering.

Mesyuarat mengarahkan JMG untuk membuat pemetaan lokasi telaga tiub dan kawasan titik panas di kawasan berisiko bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat turut memaklumkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) mempunyai Sistem Maklumat Kebakaran Hutan bagi membantu agensi pengguna memantau kejadian kebakaran hutan terbuka seperti menyebarkan maklumat titik panas yang dikesan melalui satelit NOAA dan MODIS serta menyalurkan imej satelit kejadian kebakaran hutan terbuka.

"Maklumat titik panas dan kebakaran hutan yang sebelum ini disampaikan kepada agensi pengguna menggunakan medium surat, faks dan emel kini boleh diakses terus secara dalam talian oleh agensi berkaitan termasuk JAS, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Perhutanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 8:39 PM