YASIN (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Owee Ah Chun
YASIN (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya. FOTO Owee Ah Chun
Faris Fuad

Petaling Jaya: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, 47, mendapatkan rawatan penyakit bipolar kali pertama di Hospital Sungai Buloh, semalam, selepas berdepan hukuman gantung sampai mati akibat didakwa di mahkamah atas tuduhan mengedar ganja.

Peguam Muhammad Yasin, Ariff Azami Hussein berkata, anak guamnya yang turut didakwa kerana menanam pokok ganja akan mendapatkan rawatan susulan dalam tempoh enam minggu ini di hospital sama.

"Ada dua perkara ingin dimaklumkan, pertamanya kami ingin memberi perkembangan pada pagi ini proses rawatan diuruskan oleh pihak penjara dan semalam OKT (Orang Kena Tuduh) itu dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

"Walaupun agak lewat (Yasin dibawa untuk rawatan), kami ucap terima kasih kepada mahkamah dan penjara kerana memungkinkan rawatan itu. Yang kedua, laporan kimia tak siap lagi, (namun) kami harap tarikh sebutan kes tak lama, sebulan (daripada hari ini)," katanya pada sebutan kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen, di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim dan Maryam Jamilah Ab Manaff memohon tarikh sebutan kes untuk penyerahan laporan kimia berkenaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Majistret Zhafran Rahim Hamzah dan Hakim Jamaludin Man menetapkan 22 Jun depan untuk tarikh sebutan berkenaan.

Turut hadir pada prosiding, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan abang Muhammad Yasin, Zain Sulaiman.

Sementara itu, Muhammad Yasin ketika ditemui berterima kasih kepada Syed Saddiq dan rakan yang hadir memberi sokongan kepadanya.

"Semoga kerajaan mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik," katanya.

Syed Saddiq pula berkata, beliau sudah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperhalusi cadangan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

"Perdana Menteri ada membangkitkan isu ini dalam (mesyuarat) Kabinet dan saya dengar ada maklum balas sangat positif. Ada timbalan menteri memaklumkan bahawa Kabinet secara prinsip sudah meluluskannya dan akan ada wakil Kabinet yang uruskan.

"Saya memang sebaik mungkin akan membantu dalam isu ini supaya dilihat daripada sudut data dan sains," katanya.

Manakala Zain berkata, ahli keluarga melawat Muhammad Yasin di Penjara Sungai Buloh setiap minggu bagi memberi sokongan kepada adiknya itu.

"Ahli keluarga memberi sokongan berterusan kepada Yasin sebab tak nak dia rasa tidak semangat dan akan pastikan dia makan ubat secara konsisten.

"Anak-anak dia juga berada dalam keadaan baik dan Yasin akan menghubungi mereka sekali seminggu," katanya.

Muhammad Yasin didakwa di Mahkamah Majistret, pada 31 Mac lalu, atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di kediamannya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Yasin turut dilaporkan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, bagi satu lagi pertuduhan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 1:37 PM