Al-Sultan Abdullah berkenan menghadap Sheikh Mohamed Zayed. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
Al-Sultan Abdullah berkenan menghadap Sheikh Mohamed Zayed. FOTO Ihsan FB Istana Negara.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menghadap Presiden Emiriah Arab Bersatu Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan pada hari kedua lawatan khas di negara berkenaan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rombongan Seri Paduka Baginda tiba di Istana Mushrif, Abu Dhabi pada 12 tengah hari waktu tempatan.

Beliau turut mengiringi Seri Paduka Baginda bersama Ketua Protokol Wisma Putra Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa Datuk Rozainor Ramli.

"Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda diterima oleh Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan.

"Turut hadir di pertemuan itu, Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Dubai Yang Mulia Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, Pemerintah Fujairah Yang Mulia Sheikh Hamad Mohammed Al-Sharqi, Pemerintah Syarjah Sheikh Sultan Al-Mohamed Al-Qasimi dan Menteri Kabinet Emiriah Arab Bersatu yang lain," katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pertemuan secara bersemuka selama hampir satu jam itu, katanya, Seri Paduka berkenan menyampaikan titah salam takziah kepada Presiden dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu seterusnya mengucapkan tahniah atas pelantikan Sheikh Mohamed Zayed sebagai Presiden dan Ketua Negara Emiriah Arab Bersatu yang baharu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Almarhum Sheikh Khalifa Zayed Al-Nahyan, mantan Presiden Emiriah Arab Bersatu dan Pemerintah Abu Dhabi, serta mendoakan semoga roh beliau dicucuri rahmat Allah SWT serta ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.

"Seri Paduka Baginda menyifatkan pemergian Almarhum Sheikh Khalifa sebagai kehilangan besar kepada rakyat dan negara Arab selain menzahirkan harapan seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan," katanya.

Menurut Ahmad Fadil, Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu mempunyai hubungan dua hala yang rapat termasuk kedua-dua pemimpin dan rakyat.

Kata beliau, Seri Paduka Baginda turut bertitah, hubungan dua hala yang sedia ada terjalin antara kedua negara akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang ekonomi perdagangan dan pelaburan.

Ketua-ketua negara lain juga turut hadir di Istana Mushrif hari ini bagi upacara menghadap Sheikh Mohamed dan memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sheikh Khalifa adalah Yang Mulia Putera William Duke of Cambridge, Perdana Menteri Republik Belarus Tuan Yang Terutama Roman Golovchenko, Gabenor Jeneral Australia Tuan Yang Terutama David Hurly, Presiden Afrika Tengah Tuan Yang Terutama Faustin-Archange Touadéra, Presiden Comoros, Tuan Yang Terutama Azali Assoumani dan Perdana Menteri Republik Azerbaijan Tuan Yang Terutama Ali Asadov.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi ini adalah atas jemputan peribadi Sheikh Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 12:00 AM