Rosol (kanan) ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu Bahagian Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Rosol (kanan) ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Bersatu Bahagian Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Marang: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan hasil siasatan mesin juruwang automatik (ATM) kehabisan wang ketika cuti Aidilfitri lalu, kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, KPDNHEP tidak boleh mengambil sebarang tindakan, sebaliknya akan mengemukakan hasil siasatan kepada BNM untuk tindakan susulan.

"Kita ada menerima laporan yang dimuat naik melalui laman sosial, namun tiada laporan rasmi dikemukakan.

"Kita boleh membantu melakukan siasatan, tetapi tindakan susulan hanya akan diambil oleh BNM," katanya kepada media ketika ditemui selepas menghadiri rumah terbuka Aidilfitri anjuran Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Bahagian Marang, di Kampung Rhu Muda, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata, laporan awal mendapati punca utama adalah pengeluaran wang di luar jangka.

Katanya, pengeluaran kemudahan i-Sinar oleh ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membuat persiapan Aidilfitri juga antara punca kebanyakan ATM kehabisan wang.

"Kita juga dimaklumkan kesesakan lalu lintas punca berlakunya kelewatan penghantaran wang ke ATM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 7:46 PM