Ahmad Samsuri ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya DUN Rhu Rendang.  FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Ahmad Samsuri ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya DUN Rhu Rendang. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


Marang: Pas tidak akan berputus asa untuk mempertahankan hubungan dengan Umno menerusi kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden Pas Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perjuangan parti itu tidak bersandarkan kepada agenda kepartian atau survival politik parti tertentu semata-mata sebaliknya melihat kepada agenda yang lebih besar iaitu penyatuan ummah.

Beliau berkata, pihaknya akan terus berusaha melakukan perbincangan bersama Umno demi memastikan kerjasama yang terjalin antara dua parti itu terus utuh walaupun ada sesetengah pemimpin menyifatkan MN sudah berkubur.

"Kita melihat agenda yang besar bukan melihat agenda kepartian semata-mata (atau) politik parti semata-mata, agenda yang besar sebagaimana yang ditegaskan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang kita kena sentiasa berusaha untuk memastikan MN dan Perikatan Nasional (PN) dapat terus bergerak dan menjadi antara satu alternatif dalam negara kita berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini.

"Jadi walaupun ada pihak yang tidak berapa bersetuju dan merasakan sudah tamat riwayat tapi bagi Pas kita melihat agenda yang lebih besar untuk ummah.

"Mana lebih besar, ummah atau pun survival parti politik tertentu semata-mata, kita (Pas) tak jemu (mempertahankan MN) sebab bagi kita ia bukan seperti yang digambarkan oleh sesetengah pemimpin parti politik.

"Bila orang tak nak, kita tak boleh terhegeh-hegeh, ini bukan soal bertunang bukan soal kahwin atau mencari anak dara (sebaliknya) ini adalah soal ummah, kepentingan agenda besar ummah itu lebih besar daripada perkara lain," katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pejabat Daerah Marang di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada Pas berkecil hati dengan pelbagai kenyataan yang dilontarkan kepada parti itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, parti berkenaan tidak berkecil hati dan akan terus bergerak dan berjuang.

"Insya Allah, kita akan terus jalan, semoga (apa yang dilakukan) mendapat keberkatan di sisi Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:50 PM