DATUK Dr Radzi Jidin menyampaikan ucapan perasmian sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 Tahun 2022.
DATUK Dr Radzi Jidin menyampaikan ucapan perasmian sempena Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan kali ke-5 Tahun 2022.
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali


Bachok: Dua tahun sepanjang tempoh pandemik Covid-19 adalah saat paling sukar buat Kementerian Pendidikan (KPM)," kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, ia berikutan tempoh itu tidak pernah dilalui oleh mana-mana menteri dan menjadi sejarah negara.

Katanya, bukan sahaja Malaysia berdepan situasi itu sebaliknya satu dunia mengalami masalah sama, namun masing-masing berusaha mengambil pendekatan terbaik untuk sistem pendidikan negara.

"Dalam tempoh dua tahun saya sebagai pemimpin yang mengetuai KPM, detik itu adalah amat sukar. Pada 9 Mac 2020 saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan, pada 16 Mac kerajaan umum akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac.

"Bila datang Covid-19, tidak ada siapa tahu bagaimana pendekatan terbaik untuk menguruskan sektor pendidikan. Namun saya bersyukur dan bernasib baik kerana bersama kepimpinan di kementerian yang bertungkus lumus untuk memastikan pendidikan diteruskan walaupun berdepan kekangan.

"Hampir 500,000 guru memainkan peranan bagi memastikan tempoh sukar itu, anak-anak kita masih mendapat pendidikan terbaik. Mustahil saya dapat memimpin kementerian dengan lebih 10,000 sekolah dan lebih lima juta murid serta pelajar tanpa pengorbanan guru sekalian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51 Tahun 2022 bertemakan Guru Tunjang Sekolah Sejahtera di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini, hari ini.

Radzi berkata, mereka melalui tempoh sukar bersama-sama dan bersatu hati sehingga akhirnya selepas dua tahun, sekolah kembali beroperasi seperti sedia kala.

"Setiap kesusahan ada kesenangan, akhirnya pada 21 Mac lalu, sekolah dibuka semula secara bersemuka dan April lalu tiada lagi sesi penggiliran. Bermula 1 Mei, anak-anak kembali ke sekolah seperti sedia kala sebelum pandemik Covid-19.

"Di sepanjang tempoh sukar itu, kita masih ingat pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah dilaksanakan dengan baik dengan bantuan guru.

"Saya cukup tersentuh melihat pelbagai pendekatan dibuat guru bagi memastikan segala apa yang dimasukkan dalam panduan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:16 PM