PASUKAN bomba membawa turun mangsa yang terperangkap ke lokasi selamat. FOTO ihsan bomba
PASUKAN bomba membawa turun mangsa yang terperangkap ke lokasi selamat. FOTO ihsan bomba
Nuraliawati Sabri


Jasin: Seramai 80 pengunjung Air Terjun Laman Tiga Budaya di Asahan, di sini, terperangkap selepas kawasan itu dilanda kepala air, tengah hari tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari memaklumkan berlakunya kepala air di kawasan terbabit.

Menurutnya, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin yang bergegas ke lokasi kejadian tiba pada jam 1.27 tengah hari sebelum menjalankan operasi menyelamat mangsa.

"Terdapat 80 mangsa dikatakan berada di kawasan air terjun semasa berlakunya kepala air dan 60 orang berjaya dibawa turun serta diselamatkan.

"Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tiada kecederaan dilaporkan," katanya.

Menurutnya, terdapat 20 pengunjung masih berada kawasan atas lokasi rekreasi itu dan difahamkan mereka ingin meneruskan aktiviti perkhemahan.

"Kami difahamkan 20 orang ingin teruskan aktiviti namun polis bersama bomba sudah naik untuk menasihati mereka supaya turun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:14 PM