RADZI (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2022 kepada Roslan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
RADZI (kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2022 kepada Roslan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fazlina Abdul Rahim dan Hidayatidayu Razali


Bachok: Menjadi guru selama 37 tahun dan pada masa sama terbabit dengan pembubaran kokurikulum bagi subjek Kajian Tempatan untuk murid Tahun Lima dan Enam.

Pengalaman Roslan Yatim, 65, melayakkan pesara guru itu diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2022 pada Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-51, hari ini.

Menerusi anugerah berkenaan, bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pokok Sena, Kedah yang pernah dinobatkan sebagai Guru Besar Cemerlang menerima wang tunai RM40,000 dan pingat emas bernilai RM10,000

yang disampaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok.

Menurut Roslan, ketika bertugas, beliau yang berasal dari Seberang Alor, Kuala Perlis menjadi jurulatih utama subjek Kajian Tempatan yang aktif menyampaikan ceramah dari 1994 hingga 2016.

"Saya menjadi panel penggubal sukatan pelajaran dan huraian sukatan bagi subjek Kajian Tempatan, selain aktif dalam bidang penulisan dan penerbitan serta menyumbang dalam penghasilan buku teks Kajian Tempatan.

"Bagi peringkat antarabangsa, saya menerima beberapa penghargaan termasuk memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan dua anugerah khas bagi Pertandingan Belia Reka Cipta Antarabangsa (IYIC) di Korea Selatan pada 2014," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bapa kepada enam anak itu berkata, guru perlu diberi sokongan dalam mendidik generasi masa kini sekali gus dapat memastikan mereka terus cemerlang.

Sementara itu, penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2022, Datu Dr Adi Badiozaman @ Badio Zaman Tuah, 71, menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang memberi anugerah itu kepadanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pendidikan Islam Sarawak berkata, beliau diberi kepercayaan oleh kerajaan Sarawak untuk menyediakan program pendidikan kepada komuniti di negeri berkenaan.

"Saya melihat pendidikan kita amat penting untuk melahirkan dan membentuk generasi pelapis yang akan datang," katanya yang turut menerima wang tunai RM40,000 dan RM10,000 pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 4:07 PM