DATUK Dr Kasemani Embong (dua kiri) melawat booth pameran selepas merasmikan merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
DATUK Dr Kasemani Embong (dua kiri) melawat booth pameran selepas merasmikan merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di Besut, hari ini. FOTO Nurul Fatihah Sulaini
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan dua kematian membabitkan jangkitan malaria zoonotik di Terengganu tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, satu kes dilaporkan di daerah Hulu Terengganu dan satu kes lagi di Setiu.

"Kedua-dua kes ada isu yang pertama mereka mendapatkan rawatan agak lewat serta tidak menyatakan dengan jelas (sejarah perjalanan).

"Kita berpesan kepada sesiapa yang bekerja atau melakukan aktiviti membabitkan hutan, sepatutnya apabila dia demam dan datang ke klinik perlu menyatakan sejarah pergi ke hutan atau pinggiran hutan," katanya kepada media selepas merasmikan Sambutan Hari Malaria Sedunia di dewan Merdeka, Kota Putera Square, di sini, hari ini.

Kasemani berkata, tindakan itu dapat membantu pihak kesihatan untuk mengesyaki salah satu diagnosis adalah malaria seterusnya dapat mengesan terus penyakit.

"Dalam kedua-dua kes ini, lambat mendapat rawatan dan kami tidak mengesyaki malaria kerana simptom penyakit itu tidak seperti dahulu demam menggigil tetapi sekadar sakit kepala dan muntah. Sekiranya sejarah perjalanan ke hutan dimaklumkan memudahkan pihak kami mengesan penyakit lebih awal," katanya.

Beliau berkata, mengikut rekod terdapat 13 kes malaria dilaporkan di negeri ini, 12 kes membabitkan malaria zoonotik dan satu kes import malaria manusia.

"Manakala sejak tahun 2012 tidak ada kes malaria jangkitan tempatan dilaporkan di negeri ini dan membuktikan keberkesanan pelaksanaan inovasi dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Katanya, penduduk di kawasan pedalaman juga perlu mengamalkan langkah pencegahan seperti memakai pakaian dapat melindungi gigitan nyamuk serta guna ubat penghalau nyamuk.

"Syarikat perladangan perlu memastikan pekerja mereka sentiasa dilindungi daripada gigitan nyamuk dengan membekalkan kelambu berubat serta aktiviti pencegahan malaria.

"Penduduk perlu dapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami gejala malaria terutamanya yang mempunyai sejarah masuk ke kawasan berisiko malaria atau baru pulang dari negara endamik malaria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 3:29 PM