GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Seramai 61 pengilang beras diberi amaran supaya tidak menjual benih padi di pasaran gelap bagi mengelak tindakan tegas diambil ke atas mereka.

Pengarah Kawalselia Padi dan Beras negeri, Abdul Rahman Tajudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pengilang beras terbabit dalam kegiatan terbabit berikutan mereka mempunyai keupayaan dan peralatan menghasilkan benih padi.

Beliau berkata, kegiatan penjualan benih padi tidak sah atau 'benih kampit putih' dipercayai masih berlaku namun keadaannya terkawal berikutan langkah dilakukan pihaknya dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

"Masalah bekalan benih padi lazimnya berlaku ketika musim kedua tanaman berikutan tempoh rehat yang singkat menyebabkan permintaan kepada benih padi meningkat kerana petani mahu cepat memulakan tanaman baru.

"Kita bimbang jika ada pengilang beras mengambil kesempatan menjual benih di pasaran gelap kerana harganya boleh mencapai lebih RM40 bagi beg 20 kilogram berbanding benih padi sah yang bersubsidi cuma RM35," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kedah, di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul rungutan dalam kalangan petani yang tidak dapat memulakan musim tanaman baru padi berikutan tidak mendapat bekalan benih padi sah akibat kekurangan bekalan, namun benih padi sama didakwa dijual di pasaran gelap pada harga sehingga RM48 setiap beg.

Keadaan ini menyebabkan berlaku dakwaan terdapat pengilang beras di negeri ini terbabit dalam kegiatan penjualan benih padi bersubsidi demi meraih keuntungan berlipat kali ganda berbanding menjualnya kepada agensi yang membekalkannya kepada petani.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, pengilang beras yang dikesan melakukan kegiatan berkenaan boleh diambil tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 selain bayaran subsidi mereka ditarik balik.

"Untuk mengatakan petani terbabit dalam kegiatan menghasilkan benih padi tidak sah agak sukar kerana mereka tidak mempunyai kemudahan, walaupun memiliki kemahiran dalam mengeluarkan benih padi bagi kegunaan sendiri.

"Pengilang beras yang sebenarnya mempunyai kelengkapan lengkap termasuk kaedah pembungkusan kerana mereka mengeluarkan benih padi dalam jumlah besar setiap tahun selain turut menerima subsidi kerajaan bagi melakukan proses berkenaan," katanya.

Untuk rekod, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kedah merampas lebih 6.7 tan benih padi tidak sah bernilai kira-kira RM8,100 pada 2021, namun tiada rampasan dilakukan pada tahun lalu berikutan kawalan ketat yang dilakukan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 2:56 PM