KELUARGA mangsa kemalangan maut, Iqbal Hasnun menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai di Taman Impian Jaya di Senai di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Mass
KELUARGA mangsa kemalangan maut, Iqbal Hasnun menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai di Taman Impian Jaya di Senai di sini hari ini. FOTO Mary Victoria Mass
Mary Victoria Dass


Kulai: "Biarlah apa yang terjadi ke atas keluarga kami adalah terakhir dan tragedi serupa tidak berulang menimpa keluarga lain kerana ia amat perit," kata Halimi Ali Yahad, 50, bapa kepada Iqbal Hasnun Halimi, 23, penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) yang terkorban bersama empat rakannya dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora di Ipoh pada 12 Mei lalu.

Menurutnya, sehubungan itu pembelaan bagi arwah dan rakan-rakannya yang terkorban dalam insiden itu adalah amat penting dan pihak yang bersalah perlu diadili supaya ia menjadi pengajaran.

"Semua aspek perlu diambil kira dan diperbaiki termasuk daripada segi penguatkuasaan undang-undang kerana dalam kes berkenaan difahamkan pemandu terbabit memiliki pelbagai rekod kesalahan trafik.

"Kehilangan nyawa adalah sesuatu yang tiada ganti dan mereka yang maut mungkin berpotensi menjadi pemimpin masa depan dan menjadi harapan negara.

"Kami menerima panggilan yang memaklumkan kes akan didakwa di mahkamah dan berharap semuanya berjalan lancar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Impian Jaya di Senai di sini hari ini.

Terdahulu Halimi dan keluarga menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang; ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching.

Sementara itu, Halimi berkata, kehilangan anak sulungnya itu masih diselubungi kesedihan apatah lagi tiga lagi anaknya iaitu Iqbal Hamdi, 19; Husna Hayati, 16 dan Aisyah Umairah, 4 merindui abang mereka.

"Iqbal Hamdi tidak mahu tidur di bilik sama yang dikongsi bersama arwah manakala Husna pula mahu pulang ke asrama dalam tempoh terdekat bagi mengubati kesedihan dan Aisyah pula masih memanggil along (Iqbal Hasnun)," katanya.

Sementara itu, Bor Yang berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib malang menimpa keluarga berkenaan dan berharap mereka tabah dengan dugaan dialami.

"Kami mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan semua rakan-rakannya yang terkorban dalam kejadian berkenaan. Kami bersedia menawarkan bantuan atau nasihat sesuai kepada keluarga berkenaan sekiranya diperlukan," katanya.

Dalam kejadian 12 Mei lalu, Iqbal Hasnun dan empat rakannya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan menyebabkan kereta dinaiki mereka terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 2:47 PM