GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam membabitkan kategori 1 hingga 5 serta beberapa indikator kesihatan awam mancatatkan peningkatan 100 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah menjangkakan kenaikan kes selepas perayaan Aidilfitri yang disambut meriah pada minggu lalu.

Menurutnya, selain kenaikan mendadak jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam, pertambahan berkenaan juga dapat dilihat pada kemasukan di fasiliti kesihatan seperti Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) iaitu bagi setiap 100,000 penduduk ia meningkat sebanyak 38 peratus.

"Kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan iaitu bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4 peratus; bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4 peratus dan bilangan kes Covid-19 dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 28.2 peratus.

"Begitu juga dengan trend kes aktif Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada ME 19/2022 menunjukkan peningkatan ketara iaitu sebanyak 162.4 peratus (35,167 kes kepada 13,400 kes) berbanding ME 18/2022," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penggunaan katil bukan kritikal turut meningkat sebanyak 18 peratus, selain itu jumlah kes baharu pada ME 19/2022 juga meningkat sebanyak 119.2 peratus (8,732 kes kepada 19,137 kes) berbanding ME 18/2022.

"Pertambahan turut dilaporkan untuk bilangan kes tempatan iaitu meningkat sebanyak 119.6 peratus (8,703 kes kepada 19,108 kes) dan bilangan kes import kekal sebanyak

"Sejajar dengan peningkatan kes harian pada ME 19/2022, purata nilai RT juga menunjukkan peningkatan sebanyak 70.2 peratus pada ME 19/2022 berbanding ME 18/2022," katanya.

Tambahnya, ketika Fasa Peralihan Endemik, survelan Covid-19 tetap diteruskan di beberapa klinik kesihatan sentinel dan hospital sentinel di seluruh negara. Survelan Covid-19 ini dijalankan ke atas sampel pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan atau pun teruk.

"Sehingga ME 19/2022, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel sampel pesakit Influenza (ILI) bagi Covid-19 meningkat iaitu 6.3 peratus pada ME 18/2022 kepada 7.5 peratus pada ME 19/2022.

"Melihat kepada peningkatan yang mendadak kepada hampir ke semua indikator berkaitan Covid-19, KKM menegaskan supaya semua penduduk di negara ini untuk sentiasa mengikuti nasihat yang disarankan oleh kerajaan dalam mengawal dan mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam asa peralihan ke endemik ini.

"Sekiranya masyarakat lalai dan tidak mematuhi nasihat dan ketetapan yang dilaksanakan oleh kerajaan, tidak mustahil kenaikan itu dijangka akan terus meningkat," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat beberapa penurunan peratusan yang dilaporkan pada ME 19/2022 berbanding minggu sebelumnya termasuklah untuk penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) yang menurun sebanyak 10 peratus.

'Bagi perbandingan untuk kes sembuh dan baharu pada minggu ini dengan sebelumnya, bilangan kes sembuh pada ME 19/2022 menurun sebanyak 59.2 peratus (30,930 kes kepada 12,618 kes) berbanding ME 18/2022," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:07 PM