FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Bersalaman dan bersentuhan dikesan menjadi punca kes jangkitan Covid-19 meningkat selepas sambutan Aidilfitri, awal bulan lalu.

Pengarah Eksekutif Divisyen Kesihatan Medicom, Dr Mohd Syafiq Wahab berkata, golongan yang lebih berisiko adalah mereka yang belum pernah atau yang sudah lama dijangkiti virus itu.

Katanya, peningkatan itu sudah dijangkakan sebelum ini namun tidak membabitkan lonjakan mengejut yang boleh menimbulkan situasi gusar dalam kalangan rakyat.

"Saya tidak menjangkakan akan ada pengenalan prosedur operasi standard (SOP) baharu kerana yang paling penting adalah penjagaan kebersihan seperti sanitasi tangan.

"Kebelakangan ini di mana-mana, kita lihat ia semakin kurang diamalkan, tapi kalau di sekolah memang wajib . Dalam kalangan kita pun ada yang sudah tidak bawa pembasmi kuman," katanya.

Menurutnya, ia juga mungkin disebabkan mereka yang merasakan diri sudah memiliki imun selepas dijangkiti atau mahu membiasakan diri dengan fasa peralihan endemik.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan kes positif Covid-19 selepas sambutan Aidilfitri meningkat tetapi kebanyakan adalah Kategori 1 dan 2 iaitu tiada gejala dan gejala ringan.

Beliau berkata KKM melihat trend kes Covid-19 untuk tempoh dua bulan lalu mendapati 99.5 peratus kes adalah Kategori 1 dan 2 malah kemasukan kes positif ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU) serta penggunaan bantuan alat pernafasan semakin berkurangan dengan kes kematian juga berkurangan.

Katanya, lebihan kematian pada 2020 dan enam bulan pertama 2021 adalah rendah dibandingkan sebelum pandemik dan mendapati lonjakan lebihan kematian pada Julai dan Ogos tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2022 @ 3:17 PM