Najib Razak.
Najib Razak.
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Tindakan Datuk Seri Najib Razak meluluskan beberapa transaksi berkaitan hal ehwal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kelulusan Lembaga Pengarah adalah selaras dengan kuasanya sebagai pemegang saham keutamaan mengikut Memorandum and Articles Of Association (Memorandum dan Artikel Persatuan) syarikat pelaburan strategik negara itu.

Perkara itu dicadangkan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed ketika menyoal balas bekas Setiausaha Syarikat 1MDB, Goh Gaik Kim selepas dimaklumkan bahawa pelantikan pengarah syarikat pelaburan strategik negara itu pernah dibuat Najib tanpa mendapat kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Wan Aizuddin sebelum itu mengemukakan soalan kepada Gaik Kim sama ada saksi itu pernah menasihati BOD bahawa mereka perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Najib dalam beberapa urusan syarikat.

Menjawab persoalan itu, saksi ke-17 pendakwaan terbabit berkata, perkara berkenaan diuruskan pengurusan syarikat 1MDB.

"Sebagai contoh, saya pernah melihat kelulusan bagi pelantikan pengarah melalui surat kuning yang diserahkan oleh Shahrol (Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahrol Ibrahim Halmi) daripada Jabatan Perdana Menteri kepada saya," katanya.

Wan Aizuddin kemudian mencadangkan kepada Gaik Kim bahawa surat kuning yang diserahkan Shahrol itu menunjukkan bahawa Najib menggunakan kuasanya Mengikut Seksyen 68 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB.

Gaik Kim berkata, kelulusan perdana menteri adalah diperlukan mengikut kedua-dua peruntukan iaitu Artikel 68 dan 117.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Najib mempunyai 'ultimate power' (kuasa mutlak) dalam membuat keputusan terutama membabitkan pelaburan, keputusan kewangan dan kepentingan negara membabitkan hal ehwal 1MDB.

Ia selari dengan Artikel 117 Memorandum dan Artikel Persatuan 1MDB kerana setiap keputusan penting perlu di bawah arahan dan kelulusan perdana menteri.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 8:58 PM