KEADAAN restoran selepas dirempuh Perodua Kancil.  FOTO Ihsan Polis
KEADAAN restoran selepas dirempuh Perodua Kancil. FOTO Ihsan Polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Enam pelanggan sebuah restoran cedera selepas premis berkenaan dirempuh Perodua Kancil dalam kejadian di Jalan Puteri Hang Li Poh, di sini, semalam.

Kejadian jam 7.15 petang itu dikatakan berlaku apabila pemandu kereta terbabit yang juga lelaki warga emas berusia 66 tahun mendakwa tertekan pedal minyak kereta.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas pemandu kereta terbabit selesai menjamu selera dan ingin pulang.

Beliau berkata, warga emas terbabit dikatakan meletakkan kenderaannya di hadapan premis dan ketika menghidupkan kereta dia tertekan pedal minyak.

"Akibatnya kenderaan terus merempuh masuk ke dalam restoran. Kenderaan terbabit turut melanggar tembok dinding premis.

"Susulan itu beberapa pelanggan cedera ringan namun warga emas terbabit tidak cedera," katanya.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Zon Hijau Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

"Selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu terdapat juga saksi bebas yang tampil membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/58," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 4:54 PM