Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Sha, hari ini, menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba di masjid itu jam 8.15 pagi.

Seri Paduka berdua diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa menteri Kabinet dan dif kehormat.

Al-Sultan Abdullah dan jemaah kemudian menyertai bertakbir raya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimam dan dikhatibkan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan, Muhyidin Aziz Saari.

Sejurus selesai khutbah Aidilfitri, baginda beramah mesra dengan jemaah.

Al-Sultan Abdullah kemudian berangkat ke majlis ramah mesra dan santapan raya bersama jemaah Kabinet di Istana Negara.

Sementara itu, Muhyidin ketika menyampaikan khutbah selepas solat sunat Aidilfitri bertajuk Kemenangan Menuju Keredaan menyentuh soal sambutan Aidilfitri sebagai hari kemenangan dan perlu bersyukur dengan nikmat yang ada.

Menurutnya, umat Islam perlu memperkukuhkan hubungan silaturahim dengan mengadakan amalan ziarah namun dalam masa sama perlu menjaga batas pergaulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 9:30 AM
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat hadir diiringi Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat hadir diiringi Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI