FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nurul Hidayah Bahaudin


Semenyih: Penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar belakang kenderaan pacuan empat roda (4x4) di Kilometer 31 Jalan Kuala Lumpur-Seremban berhampiran sebuah bank, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 6.50 pagi dan siasatan awal mendapati ia berlaku ketika mangsa mangsa berusia 24 tahun dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sempurna Jaya dari arah Semenyih.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal Honda RS150 ditunggang mangsa melanggar bahagian belakang kenderaan 4x4 yang bergerak perlahan dari arah Semenyih menghala ke arah Broga.

"Pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal itu parah di kepala serta patah tangan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zaid berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 0129454655 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 1:51 PM