Muhaamad Hafis Nawawi


Dengkil: Pengguna yang akan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri dan kembali ke ibu kota disaran mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang disediakan syarikat konsensi.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pengguna Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak, Lebuh Raya Pantai Timur 1 (Karak-Jabor) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (Chenor -Kuala Terengganu) disarankan menggunapakai TTA.

Menurutnya, TTA disediakan sebagai saranan waktu yang sesuai kepada pengguna berdasarkan unjuran trend trafik dan tempoh perjalanan dari sesuatu destinasi.

"Pengguna boleh merujuk TTA di laman sesawang Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi serta hebahan di media sosial.

"Pada musim perayaan ini juga, Pusat Pengurusan Trafik (TMC) LLM dan 25 pusat kawalan trafik lebuh raya bertol di Malaysia akan menjadi "nerve centre" (Pusat Utama) bagi mendapatkan dan melaporkan maklumat trafik terkini serta pertanyaan pengguna lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Lebuh Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Kawasan Rehat dan Rawat Dengkil (Arah Selatan), di sini, hari ini.

FOTO hiasan
FOTO hiasan

Fadillah berkata, TMC sentiasa bersedia untuk memantau perjalanan di lebuh raya serta memberikan maklumat trafik yang tepat dan terkini kepada pengguna lebuh raya.

"TMC LLM dan syarikat konsesi lebuh raya akan beroperasi 24 jam sehari bermula 29 April sehingga 9 Mei ini," katanya.

Beliau berkata, pengguna disarankan untuk menghubungi TMC melalui talian hotline 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat mengenai situasi trafik semasa di lebuh raya.

"Syarikat konsesi juga menyediakan Touch 'n Go spot dan kiosk layan diri bagi kemudahan tambah nilai.

"Syarikat konsesi juga diarahkan untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi pengoperasian di lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2022 @ 6:41 PM