ONN Hafiz (kanan) berucap pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
ONN Hafiz (kanan) berucap pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh

Iskandar Puteri: Kerajaan negeri mempertimbangkan untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lantikan dalam kalangan pemimpin muda sebagai kesinambungan pimpinan negeri.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu juga mampu menjadi medan latihan buat pemimpin muda mengasah bakat kepimpinan mereka.

"Johor sedang mempertimbang dan melihat aspek bagaimana pemimpin anak muda di luar mungkin dilantik sebagai Adun lantikan seperti yang dilakukan negeri lain.

"Bagaimanapun, ia sekadar cadangan dan saya perlu dapatkan pandangan daripada Exco dan Adun lain sebelum kita buat keputusan.

"Bagi saya, ia adalah perkara yang wajar jika nak lihat kesinambungan dan melatih anak muda untuk memimpin negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis angkat sumpah Speaker dan Adun Johor di sini, hari ini.

Onn Hafiz yang juga Adun Machap berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memperhalusi Enakmen Anti Lompat Parti di negeri itu dalam masa terdekat.

"Bagi Enakmen Anti Lompat Parti, apa yang berlaku di Parlimen akan ada impak di Johor contohnya Artikel 10, dengan kita pun perlu lihat sama ada perkara itu akan beri impak pada kita. Kita perlu lihat perkembangan Rang Undang Undang (RUU) Anti Lompat di peringkat Parlimen sebelum kita ambil langkah seterusnya.

"Oleh itu, hubungan antara Putrajaya dan Johor perlu ada keselarian bagi kita melaksana dan meluluskan enakmen itu.

"Enakmen ini akan memastikan tidak ada lagi ahli politik yang tidak berprinsip yang mengkhianati mandat rakyat," katanya.

Usaha melaksanakan Enakmen Anti Lompat Parti itu antara inisiatif di bawah Ikhtiar Barisan Nasional (BN) Johor ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac lalu.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, bagi memperkasakan DUN Johor, Jawatankuasa Pemilih membabitkan Adun kerajaan dan pembangkang turut akan diwujudkan.

"Jawatankuasa Pemilih itu bukan sahaja bagi membincangkan pelbagai perkara dalam kalangan wakil rakyat BN, malah Ketua Pembangkang Liew Chin Tong dan Adun pembangkang demi kepentingan dan kebajikan rakyat Johor dan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 1:20 PM