GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Kuala Lumpur: Peralihan ke Fasa Endemik merancakkan kembali sektor perniagaan jurusolek apabila mereka turut menerima kesan positif daripada pembukaan semula sektor ekonomi di Malaysia berikutan selepas pandemik Covid-19.

Bagi jurusolek, ia adalah khabar gembira daripada kerajaan sekali gus boleh menarik nafas lega kerana majlis sosial seperti perkahwinan, minum petang dan makan malam boleh diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Jurusolek profesional, Intan Nadia Syazwani Mohamed Nordin, 28, berkongsi rasa teruja apabila pelanggan sudah mula dan tidak ragu-ragu untuk menempah tarikh diinginkan berikutan mereka terpaksa menangguh majlis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sebelum ini.

"Kalau dulu tiga orang sehari, sekarang boleh dapat sehingga 12 orang sehari kerana mereka tidak risau tarikh yang dipilih dikenakan PKP lagi.

"Dulu ada yang sanggup menunda tarikh tempahan sehingga sudah mempunyai anak sewaktu majlis persandingan kerana bimbang deposit tidak dipulangkan jika membatalkan tempahan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Jurusolek Amien Asyraq Razali, 25, turut meluahkan rasa lega apabila pendapatannya lebih terjamin sehingga tidak menang tangan menerima tempahan solekan lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

"Saya hanya hadkan tiga orang sahaja sehari demi menjaga kualiti walaupun jumlah yang minta sebenarnya lebih daripada itu," katanya.

Amien bersyukur dengan peningkatan pelanggan diterima sekarang kerana beliau mengakui dua tahun lalu hanya sekadar cukup 'melepaskan gian' sehingga ada rakan seperjuangannya terpaksa gulung tikar meninggalkan kerjaya mereka dalam bidang ini.

Senada dengan Amien, jurusolek profesional berasal dari Johor, Noorhanizah Mohd Rashid, 38, berkata, tempahan dari pelanggan dilihat meningkat dengan ketara berbanding sebelum ini yang hanya terhad untuk nikah sahaja.

"Sebelum fasa peralihan endemik tempahan solek hanya terhad pada nikah sahaja atau majlis kecil-kecilan jadi lebih kurang 15 hingga 20 pengantin sebulan.

"Berbeza dengan sekarang, ia bertambah dalam 50 peratus kerana menerima tempahan untuk majlis-majlis lain juga iaitu 35 hingga 40 orang pengantin sebulan," katanya.

Sementara itu, Noorhanizah berkata, meskipun pelanggan bertambah, namun peningkatan harga alat solek sedikit sebanyak membantutkan pemulihan perniagaannya.

"Selepas pandemik bukan sahaja harga barangan dapur naik malah alat solekan juga sama membuatkan kami jurusolek agak terkesan sehingga terpaksa menaikkan harga servis solekan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2022 @ 6:45 AM