Kamaruddin Harun menghasilkan set sofa dari tayar. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Kamaruddin Harun menghasilkan set sofa dari tayar. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Masjid Tanah: Usia bukan ukuran apabila seorang lelaki warga emas berusia 66 tahun masih bertenaga menghasilkan pelbagai model set sofa menggunakan tayar terpakai.

Kreativiti ditonjolkan Kamaruddin Harun sekaligus mampu menjana sumber kewangan selain mengisi masa lapangnya di rumah di Kampung Pengkalan Pauh, Lubok Cina di sini.

Malah dia kini melakukan kerja penghasilan perabot itu secara sepenuh masa susulan permintaan luar biasa daripada penduduk dan komuniti yang mahukan set kerusi tahan lasak.

Kamarudin berkata, dia mendapatkan bekalan tayar terpakai berkenaan di kedai tayar di pekan Masjid Tanah secara percuma.

Katanya, dia menggunakan dua tayar kereta untuk menghasilkan tempat duduk dengan penyandar.

"Alasnya pula menggunakan tayar motosikal sementara bagi alas meja pula saya menggunakan jubin.

"Saya hanya menggunakan pisau untuk memotong tayar berkenaan sebelum di sulam dengan ikatan skru yang kuat. Sementara tapak asas perabot menggunakan dua tayar diikat dengan dawai di empat penjurunya.

"Untuk menghasilkan sebuah meja dan empat kerusi, saya memerlukan empat hari untuk menyiapkan. Kerja-kerja mengecat pula dibantu anak ketiga saya Amiruddin yang baru habis menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Dia berkata, idea menghasilkan perabot dari tayar terpakai itu timbul selepas melihat YouTube berhubung cara pembuatannya.

"Setakat ini saya sudah menghasilkan hampir 50 set pesanan pelanggan termasuk tempahan dari pelanggan di Butterworth, Pulau Pinang.

"Saya mengakui kerja tangan ini memerlukan ketelitian dan fokus bagi mengelak kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2022 @ 3:51 PM