RAMLI (kanan) menyampaikan sijil sempena  Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
RAMLI (kanan) menyampaikan sijil sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di Kuantan. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang

Kuantan: Peningkatan kes kemalangan di Pahang membimbangkan dengan kebanyakan insiden berpunca daripada pemandu terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 1 Januari hingga 22 Mac lalu, kemalangan dilapor sebanyak 4,182 kes berbanding, 3,390 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Katanya, peningkatan sebanyak 792 kes itu tetap membimbangkan terutama menjelang musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

"Kemalangan dilaporkan akibat pelbagai kesalahan, jika dahulu lebih kepada kecuaian, namun kini, ia (banyak) disebabkan penyalahgunaan dadah.

"Kita dapati ada pemandu lori, bas dan kenderaan persendirian yang ditahan kerana memandu secara melulu, terbabit dengan dadah dan perkembangan ini agak membimbangkan, ia amat berisiko dan mengundang kemalangan terutama mengancam keselamatan pengguna jalan lain.

"Oleh itu, saya sudah mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang supaya meningkatkan penguatkuasaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Sempena Peringatan Hari Polis ke-215 Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Selain itu, beliau turut menasihati penunggang motosikal yang 'berseronok' di jalan raya kerana ia bukan hanya membahayakan diri sendiri, bahkan orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 4:30 PM