Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada kadar 89 peratus setakat Disember tahun lalu, didorong oleh pinjaman kenderaan dan perumahan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia susulan insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan bermotor dan pelbagai insentif pemilikan rumah yang ditawarkan oleh kerajaan dan swasta.

Katanya, kerajaan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu peminjam isi rumah yang masih berdepan kesukaran kewangan akibat pandemik Covid-19, khususnya susulan sekatan pergerakan sebelum ini dan ketidaktentuan ekonomi yang masih berlarutan.

Antara langkah itu, katanya, menawarkan program nasihat dan bantuan menerusi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), serta bantuan tunai, bantuan pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan baharu khusus untuk mangsa banjir.

"Pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan, terutamanya melalui Bank Negara Malaysia (BNM), dan industri perbankan bagi mengurangkan tekanan kewangan ke atas peminjam isi rumah serta menjamin kemampuan pembayaran hutang jangka panjang mereka.

"Antara langkah itu termasuklah menerusi bantuan kewangan khas di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi, subsidi upah dan Bantuan Prihatin Rakyat, selain kemudahan kepada peminjam untuk menstruktur semula hutang supaya ansuran pinjaman lebih bersesuaian dalam jangka panjang.

"Selain itu, Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) diperkenal untuk membantu peminjam golongan B50 dan mengekalkan daya tahan kewangan jangka panjang mereka.

"Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat tertentu akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) yang bertanyakan peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK bagi tempoh sebelum dan selepas pandemik COVID-19, serta pendekatan membantu isi rumah yang berdepan masalah kewangan.

Mengulas lanjut, Zafrul memaklumkan sebelum pandemik Covid-19, peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir 2017 adalah 82.6 peratus.

Katanya, nisbah itu mencatat sedikit penurunan kepada 82 peratus pada 2018, sebelum kembali meningkat kepada 82.7 peratus pada 2019.

"Selepas pandemik, peratusan hutang isi rumah berbanding KDNK pada akhir 2020 adalah 93.2 peratus, dan pada akhir Disember 2021, secara agregatnya, nisbah hutang isi rumah kepada KDNK berada pada paras 89 peratus.

"Nisbah ini masih lebih tinggi berbanding nisbah dalam tempoh sebelum pandemik disebabkan purata pertumbuhan tahunan KDNK nominal bagi tempoh tahun 2020-2021 (1.3 peratus) yang turun mendadak sebanyak 5.3 mata peratusan berbanding bagi tempoh tahun 2017-2019 (6.6 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 4:33 PM