KEJADIAN ribut yang melanda daerah Pendang menyebabkan sebahagian rumah tercabut bumbung.FOTO Ihsan APM
KEJADIAN ribut yang melanda daerah Pendang menyebabkan sebahagian rumah tercabut bumbung.FOTO Ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli

Pendang: Dua minggu lalu, rumah mereka di Sungai Tiang di sini musnah dalam kebakaran menyebabkan tiga beranak menumpang berteduh di rumah kedai di kawasan berhampiran.

Namun semalam, rumah kedai itu pula rosak apabila sebahagian bumbung diterbangkan angin dalam kejadian ribut yang melanda sekitar jam 6.30 petang.

Demikian nasib yang menimpa Rozidah Din, 53, mangsa ribut yang melanda Sungai Tiang dan Kampung Titi Akar.

Katanya, kejadian berlaku terlalu pantas dan ketika itu dia dan suami, Mohd Nor Othman, 55, serta anak Muhamad Amar Daniel Mohd Nor, 17, sedang berehat di rumah berkenaan.

"Ketika itu keadaan cuaca sangat gelap namun tak sampai beberapa minit kemudian hujan lebat berserta angin kencang sebelum menerbangkan bumbung rumah.

"Kami tak sempat berbuat apa-apa dan habis barang rumah basah kerana bumbung sudah hilang," katanya di sini hari ini.

Rozidah berkata, kesedihan yang dialami akibat rumah musnah dalam kebakaran 8 Mac lalu masih dirasai tapi ditambah pula rumah rosak akibat ribut.

Katanya, semua ini ujian Allah yang perlu dihadapi namun bersyukur kerana suami dan anaknya selamat.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang menerima 51 kes berkaitan kejadian ribut dan pokok tumbang yang melanda petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, jumlah rumah yang terjejas akibat ribut itu membabitkan 45 buah rumah di Felda Sungai Tiang manakala enam buah di Kampung Titi Akar.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyampaikan 31 kit makanan kepada keluarga yang terjejas teruk akibat kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, setakat ini pihaknya menerima 60 laporan polis berkata kejadian ribut di daerah ini.

Beliau berkata, berkemungkinan jumlah mangsa dijangka bertambah hari ini.

Media hari ini melaporkan 11 rumah di dua kawasan di daerah ini rosak dan diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Felda Sungai Tiang dan Kampung Titi Akar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2022 @ 3:25 PM