Ras Adiba
Ras Adiba
BERNAMA

Kuala Lumpur: Wanita dikenali sebagai 'Kak Long' yang mempersendakan komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi video tular di media sosial perlu membuat permohonan maaf secara terbuka serta melakukan aktiviti amal sebagai pengajaran kepadanya dan orang lain.

Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Datuk Ras Adiba Radzi dalam kenyataan hari ini berkata, berlakon seperti OKU bukan modal untuk membuat kandungan dan menjadi terkenal di media sosial.

"Saya harap semua pihak dapat menjaga sensitiviti dan hormat kepada OKU kerana kita semua seharusnya ingat bahawa satu hari (nanti) semua akan menjadi OKU.

"Perkara sebegini bukan kali pertama berlaku, malah sejak kebelakangan ini telah pun ada beberapa isu mempersenda OKU kerap berlaku. Penguatkuasaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang rapuh dan lemah menyebabkan ramai terus menerus mempersenda dan mendiskriminasi komuniti OKU," katanya.

Ras Adiba berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) perlu menyegerakan pindaan akta itu dengan menitikberatkan aspek perlindungan dan keselamatan golongan terbabit melalui penguatkuasaan undang-undang.

Beliau yang juga Presiden OKU Sentral menyeru semua persatuan dan pertubuhan OKU untuk membuat laporan polis terhadap individu berkenaan supaya tindakan dapat diambil mengikut lunas undang-undang.

Ini kerana, beliau berkata, perbuatan memalukan fizikal seseorang secara lisan mahupun di alam maya diklasifikasikan sebagai jenayah di bawah Seksyen 233 (1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

"Saya memohon kerajaan untuk meminda Akta 588 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan dengan memasukkan hukuman lebih berat supaya tindakan mengaibkan orang khususnya OKU tidak dilakukan.

"Kita perlu pastikan bahawa (golongan OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 5:04 PM