Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memaklumkan kaedah permohonan dan mekanisme pembayaran pengeluaran khas RM10,000 dengan kadar segera.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP memaklumkan, lanjutan daripada pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, KWSP akan memperkenalkan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 untuk ahli yang masih terkesan oleh pandemik.

"Ini adalah pengeluaran keempat selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021 bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti dengan kelembapan ekonomi.

"Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion sudah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, ketika negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

"KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangan mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 4:21 PM