GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Gunakan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 dengan berhemat ketika peralihan endemik.

Demikian nasihat Pergerakan Pemuda UMNO kepada pencarum susulan pengumuman dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan pengeluaran khas caruman KWSP hari ini.

Sambil mengucapkan terima kasih di atas pengumuman yang melegakan banyak pihak itu, Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata mereka yang tidak memerlukannya tidak perlu berbuat demikian.

"Pemuda UMNO berterima kasih kepada kerajaan di atas kebenaran ini. Kepada yang layak, gunakan sebaiknya duit itu untuk menampung perbelanjaan dengan berhemah," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ditanya mengenai mekanisme yang akan digunakan KWSP, beliau berkata, pada peringkat awal ini ia terserah kerana yang penting kebenaran sudah pun diberikan.

Terdahulu, kerajaan hari ini mengumumkan berita gembira apabila bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

Perdana Menteri berkata, walaupun keputusan yang sukar kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa hadapan.

Sebelum ini, Pemuda UMNO antara pihak yang lantang menyuarakan gesaan agar kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan pengeluaran caruman berkenaan berikutan kehidupan rakyat yang terhimpit akibat Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 2:44 PM