GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejumlah 1,119,954 atau 31.5 peratus kanak-kanak di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids) setakat semalam.

Berdasarkan laman web COVIDNOW, 15,238,078 individu atau 64.8 peratus daripada populasi dewasa di negara ini menerima dos penggalak Covid-19 dan 22,933,696 atau 97.5 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,210,290 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, sejumlah 2,835,698 individu atau 91.1 peratus daripada kumpulan itu sudah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,935,797 atau 94.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, 58,326 dos vaksin telah diberikan, dengan 23,938 sebagai dos pertama, 1,678 sebagai dos kedua dan 32,710 sebagai dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang dikeluarkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 68,064,755.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 76 kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, dengan Kedah mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 15 kes, diikuti Selangor (14), Perak (10), Johor (lapan), manakala Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing merekodkan lima kes kematian.

Kuala Lumpur merekodkan empat kes kematian, masing-masing tiga kes di Perlis dan Pulau Pinang, manakala Kelantan, Melaka, Pahang dan Sarawak masing-masing merekodkan dua kes dan Terengganu (satu).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:43 AM