DATUK Wira Dr Azizan Osman (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas menyampaikan anugerah. FOTO Bernama
DATUK Wira Dr Azizan Osman (dua dari kiri) bergambar kenangan selepas menyampaikan anugerah. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 1,885 usahawan di bawah bimbingan RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) berjaya merekodkan jualan terkumpul sebanyak RM3.7 bilion sepanjang tempoh 2021.

Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks Radz Mohd berkata, melalui program eksklusif Titanium sebanyak RM3.21 bilion jualan berjaya diraih, manakala usahawan bagi program Spire dan Elite-X masing-masing merekodkan jualan terkumpul RM495 juta dan RM46.9 juta.

"Usahawan yang dibimbing secara intensif melalui program Titanium merekodkan jualan RM2.27 bilion pada 2020 berbanding hanya RM901 juta pada 2019. Ini menunjukkan peningkatan jualan usahawan Titanium dari 2020 ke 2021 sebanyak 41 peratus.

"Kesemua jualan Titanium sepanjang 2021 membabitkan 312 usahawan bersamaan 268 bisnes. Daripada jumlah itu, 85 peratus atau 227 bisnes usahawan Titanium merekodkan peningkatan jualan berbanding tahun sebelum," katanya pada majlis RichWorks Titanium Gala Awards di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Majlis itu bertujuan meraikan pencapaian luar biasa usahawan yang berjaya berhadapan dengan pandemik Covid-19 di bawah bimbingan RichWorks sehingga merekodkan jualan berganda ketika mendepani krisis yang melanda negara.

Dalam pada itu, Mentor Usahawan Datuk Dr Azizan Osman berkata, pencapaian jualan usahawan Titanium membuktikan pandemik yang melanda negara bukan penghalang untuk berjaya dan satu cabaran boleh dihadapi dengan berusaha mencari jalan penyelesaian.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku 'Bangkit Bisnes Dari Krisis' yang digarap hasil analisis terhadap bisnes yang berhadapan dengan krisis susulan pandemik Covid-19, namun berjaya bangkit semula.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Eskayvie Sdn Bhd Kartika Wati Mohamed berkata, hasil bimbingan dan tunjuk ajar intensif daripada program ditawarkan, beliau berjaya meraih anugerah Titanium Grandeur Award pada majlis itu dengan keuntungan perniagaan berjumlah RM96.7 juta tahun lalu.

"Ketika pandemik, selama tiga hari saya hampir hilang punca, tak tahu apa nak buat, namun oleh kerana saya ada akses kepada Datuk Dr Azizan, apa yang berlaku dia panggil kami semua dan beri bimbingan apa perlu dilakukan supaya kita pada ketika itu masih boleh terus berniaga.

"Alhamdulillah berkat berguru dan bimbingan beliau pada 2020, ketika semua orang tak pasti apa nak buat, tapi kami dapat bimbingan yang betul dan menyumbang kepada kejayaan dikecapi ini," katanya.

Eskayvie Sdn Bhd adalah syarikat produk makanan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 12:54 PM