Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kerajaan memantau kenaikan harga minyak mentah dunia selain komoditi utama lain termasuk gandum dan bijirin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kenaikan harga mendadak berkenaan memberi cabaran besar kepada pengurusan kewangan negara.

"Buat masa ini, kerajaan masih menanggung subsidi petrol bagi Ron95 dan kenaikan harga minyak mentah dunia itu sekali gus meningkatkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung kerajaan.

"Berbanding negara lain, mereka tiada subsidi petrol dan kebanyakan harga petrol lebih RM10 per liter.

"Justeru, kerajaan memantau kenaikan harga minyak dunia. Selain minyak, kita juga memantau komoditi lain seperti gandum dan bijirin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Transformasi Digital Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, harga minyak mentah melonjak pada paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, susulan konflik Rusia dan Ukraine.

West Texas Intermediate diniagakan AS$94 (RM393) setong, manakala harga minyak mentah Brent meningkat melepasi paras AS$96 (RM401) setong, tertinggi sejak September 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 5:48 PM