MoHU menamatkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di dua masjid suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. FOTO Reuters
MoHU menamatkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di dua masjid suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. FOTO Reuters
BERNAMA

Kuala Lumpur: Berikutan pemansuhan semua sekatan Covid-19 oleh Kerajaan Arab Saudi, Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) negara itu turut mengumumkan kelonggaran untuk tidak lagi mewajibkan permit bagi ziarah dan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bermula semalam.

Bagaimanapun, menurut MoHU, tiada perubahan untuk permit Umrah dan ziarah Raudhah.

"Ia masih diwajibkan seperti syarat tertera dalam aplikasi Tawakkalna dan Eatmarna," katanya.

Kementerian menerusi kenyataan yang dimuat naik pada laman Twitter rasminya juga menamatkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di dua masjid suci umat Islam, Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kawasan tertutup di kedua-dua masjid suci berkenaan.

Menurut kementerian itu lagi, kanak-kanak berusia bawah lima tahun turut dibenar memasuki perkarangan dua masjid suci berkenaan.

"Kanak-kanak lima tahun ke atas dan sudah divaksin boleh memasuki Haramain manakala berusia di bawah lima tahun, hanya boleh masuk ke halamannya," kata kementerian itu menjawab soalan netizen di ruangan komen.

Kerajaan Arab Saudi semalam mengumumkan pemansuhan kesemua sekatan Covid-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua ketibaan ke negara itu.

Kementerian Dalam Negeri (MoI) Saudi menerusi perkongsian infografik di Twitter menyatakan keputusan baharu itu berkuat kuasa mulai semalam, 5 Mac.

Keputusan itu antara lain membatalkan arahan penjarakan sosial dan fizikal di semua lokasi, aktiviti serta acara tertutup dan terbuka.

Namun, pemakaian pelitup muka di tempat tertutup masih dilaksana.

Selain itu, pengembara dari luar Saudi juga tidak lagi perlu menyediakan keputusan negatif ujian PCR atau RTK semasa ketibaan mereka.

"Bagaimanapun, semua ketibaan bagi semua jenis visa lawatan, wajib mendapatkan insurans yang meliputi kos rawatan daripada jangkitan Covid-19," menurutnya.

Kementerian juga mengumumkan menarik balik penggantungan penerbangan terus dan ketibaan dari Afghanistan dan benua Afrika termasuk Afrika Selatan, Namibia, Botswana, Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Mozambique, Malawi, Mauritius, Zambia, Madagascar, Angola, Seychelles, United Republic of Comoros, Nigeria dan Ethiopia.

Kementerian itu menjelaskan langkah yang diambil adalah tertakluk kepada penilaian berterusan oleh pihak berkuasa kesihatan Saudi, mengikut perkembangan situasi epidemiologi.

Setakat semalam, Arab Saudi mencatatkan 283 kes baharu Covid-19 dengan hanya satu kes kematian di negara yang merekodkan jumlah kumulatif kes jangkitan 747,119 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 1:35 PM