Junita Mat Rasid dan Mohamed Farid Noh dan Mahaizura Abd Malik


Johor Bahru: Kerajaan Johor memperuntukkan 3,200 lot tanah kepada generasi kedua FELDA bagi membina kediaman, jika mendapat mandat baharu daripada rakyat Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata agenda perumahan untuk generasi kedua FELDA adalah antara komitmen berterusan kerajaan, malah ia satu daripada lima teras digariskan dalam Ikhtiar Barisan Nasional (BN) menerusi tunjang Kesejahteraan Rakyat.

"Kerajaan Johor menerusi Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) sudah mengenal pasti 3,200 lot tanah bagi membangunkan rumah generasi kedua FELDA.

"PKPJ sedang meneliti kesemua lot tanah itu kerana kerajaan Johor tidak mahu kediaman generasi kedua FELDA dibina di kawasan terpinggir dan tiada infrastruktur.

DATUK Seri Hasni Mohammad
DATUK Seri Hasni Mohammad

"Kawasan yang mempunyai infrastruktur antara kriteria yang ditetapkan kerajaan negeri bagi memastikan keselesaan generasi kedua FELDA," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Pembeli Residensi Larkin Indah yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Pengerusi PR1MA, Datuk Dr Fathul Bari.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi BN Johor berkata, penubuhan PKPJ Januari lalu, adalah bukti komitmen berterusan kerajaan Johor bagi menyelesaikan isu perumahan rakyat negeri ini.

Katanya, PKPJ akan menjadi agensi tunggal yang menguruskan isu perumahan dan hartanah di negeri ini, sekali gus segala isu berbangkit akan dapat ditangani secara khusus dan lebih menyeluruh.

"PKPJ juga bakal menjadi pihak yang bertanggungjawab dalam merancang, membangun, mengawal dan menguat kuasa semua perkara berkaitan perumahan serta hartanah di Johor.

"Kerajaan Johor menerusi PKPJ sedang menggerakkan Program Khas Rumah Johor bagi membolehkan pembinaan sebanyak 115,000 unit kediaman mampu milik di negeri ini.

"Ia berikutan sebanyak 153,000 rumah mampu milik gagal dibina pemaju sejak 20 tahun lalu berikutan pelbagai kekangan termasuk faktor ekonomi.

"Langkah ini bagi membolehkan golongan sasaran membabitkan rakyat Johor daripada kategori B40 dan M40 mampu memiliki kediaman sendiri dan tidak lagi terpaksa menyewa dalam tempoh lama terutama graduan baru bekerja selain pasangan baru berumahtangga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 7:05 PM