TERTUDUH (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
TERTUDUH (kanan) ketika dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Bekas pembantu pendaftaran dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini hari ini atas 13 pertuduhan memalsukan dokumen.

Tertuduh, Mohd Sofian Ishak, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memalsukan salinan buku rekod kesihatan ibu dan rekod kesihatan bayi serta kanak-kanak milik seorang wanita dan kanak-kanak dengan tujuan menipu bagi mengeluarkan sijil lahir.

Kesalahan dilakukan di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Kinabalu antara 1 November 2012 hingga 4 Januari 2013, dengan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tujuh tahun dan denda, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Dia juga dilarang mengganggu saksi pendakwaan dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Abu Bakar menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:00 PM