GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jawatankuasa Ad-Hok Desak Gaji Minima RM1,500 mendesak kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 dengan segera.

Jurucakap jawatankuasa yang juga Naib Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Ismail Ali berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob harus membentangkan Akta Gaji Minimum RM1,500 di Parlimen dengan segera, selewat-lewatnya pada sesi dijadualkan pada 28 Februari ini.

Katanya, ia sepatutnya dilaksanakan tahun lalu dan bukan pada akhir tahun ini seperti dinyatakan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

"Gaji minimum perlu dilaksanakan segera memandangkan kos harga barangan semakin meningkat sehingga menekan pekerja berpendapatan rendah," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum mengenai perkara itu di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Kira-kira 30 wakil jawatankuasa itu hadir mewakili 104 kesatuan sekerja seluruh negara dan memorandum diserahkan kepada Pengarah Pengurusan Pejabat Perdana Menteri, Mohd Sabri Seman.

Awal Februari lalu, Saravanan dilaporkan berkata, pekerja negara ini dijangka menikmati penetapan kadar gaji minimum baharu pada nilai sekitar RM1,500 sebulan sebelum penghujung tahun ini.

Walaupun nilai sebenar kadar baharu itu belum dimuktamadkan, Saravanan positif perkara itu boleh direalisasikan selepas mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 5:59 PM