GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Ahmad Hasbi

Seremban: Kerajaan Negeri Sembilan tidak bercadang melaksanakan semula sekatan pergerakan dalam masa terdekat susulan tujuh daerah di negeri ini berstatus zon merah Covid-19 sejak semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan bagaimanapun berkata, orang ramai digalakkan untuk mengambil dos penggalak manakala ibu bapa diminta supaya mendaftarkan anak masing-masing menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

"Buat masa ini kami belum bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di negeri ini.

"Namun, saya menasihatkan orang ramai di Negeri Sembilan supaya mengambil dos penggalak dan ibubapa dinasihatkan supaya menggalakkan anak-anak berusia 12 tahun ke bawah mengambil vaksin," katanya ketika dihubungi tadi.

Mengulas lanjut Veerapan berkata, daripada 61 mukim di negeri berkenaan, 38 daripadanya berada dalam zon merah dengan Mukim Ampangan mencatatkan kes baharu paling tinggi iaitu sebanyak 63 kes.

"Antara mukim yang mencatatkan kes aktif paling tinggi adalah Labu (1,357), Ampangan (1,284), Si Rusa (661) dan Setul (606). Manakala terdapat lima mukim di zon jingga dan 15 mukim mencatatkan zon kuning.

"Hanya terdapat tiga mukim di zon hijau iaitu Langgkap dan Parit Tinggi masing-masing di Kuala Pilah serta Legung Ulu di Rembau. Manakala semua mukim di daerah Seremban, Port Dickson dan Jempol mencatatkan zon merah membabitkan 18 mukim.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, terdapat 690 kes baharu Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS).

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 134,082 kes dan jumlah keseluruhan kes kematian Covid-19 sebanyak 1,349," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 2:45 PM