KUALA LUMPUR 19 FEBRUARI 2022. Deputi Superintendan Polis (DSP), Dr Mohd Roslan Mohd Tahir (kanan) dan Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi menerima Ijazah Doktor Falsafah (Sastera) pada Majlis Konvokesyen Khas OUM yang dianjurkan pada 19 hingga 21 Februari 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini. NSTP /ROHANIS SHUKRI.
KUALA LUMPUR 19 FEBRUARI 2022. Deputi Superintendan Polis (DSP), Dr Mohd Roslan Mohd Tahir (kanan) dan Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi menerima Ijazah Doktor Falsafah (Sastera) pada Majlis Konvokesyen Khas OUM yang dianjurkan pada 19 hingga 21 Februari 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) hari ini. NSTP /ROHANIS SHUKRI.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kesibukan sebagai ahli politik dan ketua keluarga sedikit pun tidak menghalang Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi merealisasikan cita-cita 20 tahun lalu untuk menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Setiausaha Politik Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau bermula dengan keputusan yang tidak memuaskan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar, Selangor.

Menurutnya, berbekalkan dengan sijil itu dia menyambung pelajaran ke peringkat Diploma di Politeknik Kota Bharu, Kelantan.

"Hati ini ketika itu tetap menyemburui rakan yang lebih awal melangkah kaki ke universiti di peringkat ijazah.

"Namun perasaan itu mampu saya tangani dengan bijak kerana akhirnya berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana pada 2001," katanya ketika berucap sebagai wakil Graduan Sidang 1 pada Majlis Konvokesyen Khas Open Universiti Malaysia (OUM) di sini, hari ini.

Budiman berkata, cita-cita untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafah bermula ketika berusia 30 tahun namun hanya selepas 20 tahun barulah berjaya melunaskan impian itu.

"Perjalanan ini bukanlah sesuatu yang mudah. Impian tanpa kerja kuat adalah angan-angan Mat Jenin.

"OUM berperanan besar membantu orang seperti saya dan ramai lagi malah Warga OUM juga menyambut baik niat saya biarpun belum ada pelajar yang melanjutkan program dalam bidang Sains Politik di peringkat PhD," katanya.

Beliau berkata, pengalaman mengumpul data dengan menemu bual 12 informan bermula dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak adalah sesuatu yang sukar dilupakan.

"Suara lisan yang kemudian perlu disalin secara verbatim benar-benar melelahkan sehingga saya terlelap beberapa kali dengan fon telinga masih di telinga," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Seri Alam Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir pula berkata, pengalaman menyiapkan tugasan PhD amat mencabar malah dirinya sebagai pegawai polis turut boleh menangis beberapa kali sejak mula menyambung pelajaran pada 2015.

"Saya menangis beberapa kali untuk menyiapkan PhD ini ditambah dengan umur tahun ini 53 tahun memang agak sukar dan perjalanan yang susah namun akhirnya berjaya.

"Terima kasih kepada OUM kerana memberi peluang kepada saya dan pelajar pertama lulus dan mendapat PhD dalam bidang sastera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 2:53 PM