Tuty Haryanti Ahmad Rodzi


Kuala Lumpur: Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) melaksanakan kempen Ramadan Bersama menerusi lima projek dengan menyasarkan agihan sebanyak RM7 juta kepada penduduk di Palestin, Syria dan Yaman.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, projek itu memberi ruang kepada masyarakat untuk berinfak dengan perancangan yang baik dari sekarang sehingga akhir Ramadan.

Katanya, tiga projek yang bermula hari ini adalah Tajaan Iftar dengan sumbangan bernilai RM50, Hadiah Raya bernilai RM150 dan Tabung Ramadan Kareem yang membolehkan orang ramai berinfak pada bila-bila mengikut kemampuan.

"Projek Cabaran Sedekah Subuh pula membolehkan masyarakat menyumbang serendah RM10 setiap awal pagi sepanjang bulan Ramadan, manakala Sedekah Pahala 1,000 Bulan iaitu sumbangan sebanyak RM50 pada 10 hari terakhir Ramadan.

"Manfaat bagi dua projek sepanjang Ramadan ini dikhaskan kepada 7,000 keluarga ibu tunggal dan usaha membaik pulih Masjid Al-Aqsa," katanya pada sidang media pelancaran kempen itu di Bandar Baru Bangi dekat sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut.

Beliau berkata, kempen itu diadakan lebih awal sebagai persediaan bagi sebarang kemungkinan berikutan tahun lalu Palestin dikejutkan dengan serangan besar-besaran yang dilancarkan oleh Tentera Rejim Israel.

Katanya, serangan pada penghujung Ramadan lalu menyebabkan Gaza terjejas dan lebih memilukan sebahagian Masjid Al-Aqsa terbakar dan rosak teruk.

"Berikutan peristiwa itu, persediaan bagi sebarang kemungkinan perlu dilaksanakan lebih awal pada tahun ini.

"Bukan kita sahaja yang mahu meraikan Ramadan dalam keadaan aman, tetapi saudara kita di Palestin, Yaman dan Syria turut mahu menikmatinya," katanya.

Semua sumbangan boleh dibuat menerusi laman web Aman Palestin di www.amanpalestin.net.

Sementara itu, Awang Suffian berkata, Aman Palestin akan melaksanakan misi pertama ke Yaman pada hujung minggu ini dengan menghulurkan bantuan berjumlah USD100,000 (RM418,820.5).

Katanya, bantuan akan diberikan terutama dalam sektor pendidikan dan perubatan, selain kotak makanan, pakaian musim sejuk dan pam air yang dapat memberi manfaat kepada 7,000 penduduk.

"Ini juga adalah sebahagian daripada persediaan memasuki bulan Ramadan dalam melihat keperluan utama dan keadaan semasa di sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Februari 2022 @ 2:46 PM
Muhd Farhan  (kiri), Awang Suffian Awang Piut dan Pengurus Operasi Wilayah Malaysia, Khairul Amin Ibrahim pada sidang media kempen Ramadan Bersama Palestin, Syria, Yaman di Yaman Palestin Berhad Bangi. Kempen Ramadan Bersama berdasarkan agihan sebanyak 7 juta kepada penduduk Palestin, Syria dan Yaman. FOTO ROHANIS SHUKRI
Muhd Farhan (kiri), Awang Suffian Awang Piut dan Pengurus Operasi Wilayah Malaysia, Khairul Amin Ibrahim pada sidang media kempen Ramadan Bersama Palestin, Syria, Yaman di Yaman Palestin Berhad Bangi. Kempen Ramadan Bersama berdasarkan agihan sebanyak 7 juta kepada penduduk Palestin, Syria dan Yaman. FOTO ROHANIS SHUKRI